DI MANA ALLAH?
Mengapa
manusia melakukan kejahatan? Para ulama memberi tiga sebab yang utama –
pertama, tidak yakin kepada Allah. Kedua, tidak yakin akan adanya Hari Akhirat
dan ketiga, kerana terlalu cinta kepada diri lalu mengabaikan orang lain.
Solanya, mengapa orang Islam pun masih melakukan kejahatan?
Ya,
karena kita hanya percaya kepada ketiga perkara di atas tetapi tidak
yakin. Kalau ditanyakan apa bedanya antara percaya dan yakin? Terlalu jauh
bedanya. Percaya itu di akal, dimiliki oleh pemikiran dengan belajar. Manakala
yakin itu di hati, dimiliki dengan tarbiah dan mujahadah.
Sebab
pertama dan kedua dinamakan Iman – yakin kepada Allah dan Hari Akhirat. Kedua
sebab itu menumbuhkan sebab yang ketiga yakni ukhwah atau persaudaraan (kasih
sayang). Dengan iman kepada Allah, terbentuklah kasih sayang sesama manusia.
Jika ditanya, siapakah manusia yang paling kasih kepada manusia lain? Jawabnya,
mudah. Siapa yang paling kasih kepada Allah maka dialah yang paling kasih
kepada manusia.
Mengapa
begitu? Kerana jika kita ingin mengasihi Allah, Allah letakkan syarat agar kita
mengasihi hambaNya. Allah minta manusia yang hendak mengasihiNya menjadi
saluran untuk Dia mengasihi hamba-hambaNya yang lain. Kita mesti menjadi
saluran Allah untuk menyalurkan ilmu, rezeki, kasih, sayang, keadilanNya kepada
manusia.
Jadi,
jika kenyataan ini dipandang dari sisi yang lain, kita boleh tegaskan begini:
Hanya orang yang hatinya benar-benat yakin kepada Allah sahaja boleh menabur
kebaikan dengan seikhlas-ikhlasnya kepada manusia lain. Jika ada manusia yang
ingin menaburkan jasa dan kebaikan kepada manusia, tetapi tidak nampak
sedikitpun keseriusannya untuk mendekati Allah, maka hubaya-hubaya
(berjati-hati), besar kemungkinan dia hanya berpura-pura. Boleh jadi dia memberi
untuk mendapat pulangan yang lebih besar lagi!
Betapa
ramai manusia yang mendabik dada ingin membuat kebaikan kepada manusia lain
tetapi mengabaikan hubungannya dengan Allah. Mungkin sama ramainya dengan
manusia yang mendakwa hubungannya sangat akrab dengan Allah tetapi meminggirkan
hubungan sesama manusia. Inilah yang telah menimbulkan golongan manusia
yang gila kuasa, cinta kedudukan, dan obsesi ekonomi… kononnya untuk meneruskan
legasi jasa kepada orang lain.
Jangan
kita lupa ‘yakin kepada Allah’ adalah kunci kepada segala kebaikan dan
kejujuran. Dan jangan kita lupa pula ‘cinta kepada dunia’ itu kepala kepada
segala kejahatan. Jika Allah dipinggirkan dalam diri, keluarga, masyarakat,
pertubuhan, negeri atau sesebuah negara, maka jangan sekali-kali kita percaya
dakwaan diri itu, keluarga itu, keluarga, pertubuhan, negeri atau negara itu
untuk berjasa kepada manusia!
Seruan
untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengamalkan syariat dan akhlak Islamiah
mesti mendominasi seruan-seruan yang lain. Dasar dakwah Islamiah adalah
mengajak orang ramai merdeka daripada penghambaan sesama manusia untuk bebas
menghambakan diri kepada Allah. Menyedarkan manusia agar memburu kelapangan
Hari Akhirat dengan meninggalkan kesempitan dunia – maksudnya, menggunakan
nikmat dunia untuk menadapatkan kenikmatan syurga! Dan akhirnya, meninggalkan
kezaliman sistem hidup buatan manusia untuk mendapat naungan keadilan sistem
hidup Islam.
Di
mana Allah dalam hati, keluarga, masyarakat dan pertubuhan kita? Itulah satu
muhasabah untuk difikirkan jika kita benar-benar jujur untuk menabur bakti
kepada manusia. Inilah jalan para rasul, nabi, sahabat-sahabat dan umumnya para
salafussoleh yang telah banyak menabur bakti kepada manusia lain. Merekalah
individu yang rapat dengan ummah untuk mengetahui apa masalah mereka dan akrab
dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah-masalah itu!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar